KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan untuk membawa perubahan kepada negara jika mereka menolak politik secara total pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, jika pengundi terus menolak politik, gejala rasuah akan terus berleluasa andai pemimpin yang salah diangkat.
“Rakyat perlu berani membuat perubahan dengan memilih pemimpin politik yang bersih dan tidak rasuah.
“Kalau pilih untuk tolak politik, masa depan anak-anak kita akan ditentukan orang yang korup. Tak peduli Melayu, Kadazan, Cina, India kita ada pilihan, jangan izinkan rakyat dihumban (dengan politik rasuah),” katanya ketika berucap dalam Sidang Nadi Rakyat, lapor FMT.
Hadir sama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) konsisten menolak kerajaan yang mengamalkan politik rasuah.
“Siapa boleh nafikan elit politik kaut kekayaan untuk diri dan pergunakan rakyat, bukan soal kaum. Ada elit politik Melayu yang khianat, dan Cina serta India yang kaut keuntungan termasuk daripada kalangan pekerja Bangladesh.
“Semua terpalit penyalahgunaan kuasa dan rasuah sebab itu ada langkah sekarang, yang mula menyerang badan kehakiman sebab takut dengan badan yang berani dan bebas,” katanya.
PKR dan PH katanya, sejak dari awal untuk menegakkan keadilan dan menyuarakan denyut nadi rakyat.
Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, walaupun PH dituduh tidak pandai memerintah apabila mentadbir Putrajaya hanya 22 bulan, gabungan berkenaan berjaya menurunkan kedudukan indeks persepsi rasuah (CPI) dari 61 ke 51.
“Bagaimanapun, satu tahun lebih mereka (kerajaan Melayu Islam PN-BN) ambil alih kerajaan, kedudukan itu naik ke tangga 61. Tahun ini barangkali cecah kedudukan 70 ke atas,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.