PARTI Amanah Negara (Amanah) Kedah berikrar memperhalusi ‘ciri’ dan ‘nilai’ dimiliki calon-calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh.
“Kesetiaan dan menghayati perjuangan mengangkat ‘daulat’ rakyat akan diutamakan ketika memperhalusi ciri dan nilai calon tersebut.
“Sebagai parti politik yang menjadi peserta pilihan raya kelak, ‘bahan’ yang boleh kita jual atau tawarkan kepada rakyat adalah ‘idea’, ‘rekod’ dan ‘khidmat’ pemudah cara untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Semua ini ada pada parti Amanah,” katanya ketika membacakan teks ucapan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi sempena Konvensyen Amanah Kedah dan Istiadat Letak Kerja Pilihan Raya dan Komunikasi di Dewan Cenderawasih, di Pendang hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu berkata, Amanah Kedah telah bersiap siaga untuk turun bersama-sama rakyat dalam PRU-15 nanti.
“Amanah dan Pakatan Harapan (PH) turun dengan satu hasrat, ‘Perkasakan Daulat Rakyat. Daulat rakyat telah diangkat dan dijunjung sebelum ini.
“Namun kerana adanya para politikus yang mengambil kesempatan atas nama rakyat telah ‘melompat’ di sana sini, maka suara ‘daulat’ rakyat itu telah dipermainkan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata, Amanah Kedah ingin menegaskan sesekali tidak akan menderhakai rakyat.
Kata beliau, sebagai persiapan gerak kerja pilihan raya, Amanah Kedah memutuskan untuk mengerakkan Biro Pilihanraya (BPR) sebagai sebuah Jentera Operasi (JOP).
Menurut Ismail, ia akan digerakkan secara intensif, lawatan ke lapangan, perundingan, pelancaran jentera di DUN dan penganalisaan data digerakkan dengan intensif oleh tenaga yang dilatih pada peringkat negeri.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.