Tiada syarikat di Malaysia dapat lesen import, jual air zam zam

0
434

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, yang pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM, setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini ekoran laporan media berhubung penjualan air zam zam secara dalam talian baru-baru ini.

Dr Noor Hisham berkata tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen.

“Justeru itu, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Beliau berkata sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 hasil saringan BKKM terhadap platform dalam talian, dengan 32 daripada iklan makanan yang dipadam itu adalah iklan air zam zam.

Dr Noor Hisham berkata melalui pemantauan di media sosial pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zam zam tiruan,” katanya.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zam zam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di http://moh.spab.gov.my; atau Facebook BKKM di http://www.facebook.com/bkkmhq.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here