Ekonomi Terengganu makin pulih, catat KDNK 3.6 peratus

0
291

USAHA kerajaan Terengganu untuk memulihkan ekonomi negeri pascapandemik Covid-19 kini telah menunjukkan hasil positif, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi 2021 iaitu sebanyak 3.6 peratus, melebihi pertumbuhan 3.1 peratus peringkat nasional.

“Pertumbuhan 3.6 peratus berbanding -5.7 peratus pada 2020 juga telah melebihi unjuran yang diletakkan iaitu sekitar 2.0 hingga 2.2 peratus.

Sesungguhnya pencapaian ini adalah hasil usaha pelbagai pihak yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, selain itu Terengganu juga berjaya merekodkan pencapaian yang baik bagi beberapa indikator dalam lima bidang tumpuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu bidang kemajuan masyarakat, kemakmuran, keamanan, kerjasama dan penjagaan bumi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri amat menyedari dan memahami beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini akibat kenaikan harga barangan.

Justeru katanya, isu tersebut akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri yang sedang menanganinya bersama kerajaan Persekutuan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here