SEBUAH anak syarikat di bawah Shoraka Digital Ventures (Shoraka DV), Shoraka Suyula Platform (SSP) telah berjaya memperolehi Lesen Inovasi dari Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) yang membolehkan mereka beroperasi di salah sebuah pusat kewangan global terkemuka di Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara (MEASA).
Pengarah Urusan Shoraka DV, Johar Amat berkata perolehan lesen itu mampu membuka ruang bagi syarikat mereka meluaskan perniagaan mereka.
“Usaha mendapatkan lesen ini merupakan langkah pertama yang penting bagi peluasan syarikat di rantau ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kehadiran SSP di salah sebuah hub teknologi kewangan (FinTech) paling aktif akan membolehkan mereka memanfaatkan bakat dan kemahiran di pasaran global dengan rangkaian luas tersedia di DIFC Fintech Hive yang berpengkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perkara itu melihat kepada imej SSP sebagai syarikat pemula FinTech yang akan mengendalikan Platform Re-Rahnu yang membolehkan pengendali Ar-Rahnu (ARO) untuk meningkatkan pembiayaan jangka pendek.
“Lesen ini akan menjadi medium yang akan membawa SSP dalam perjalanannya untuk melangkaui Asia Tenggara dan ia menandakan satu peristiwa penting bagi kami untuk pelan pengembangan global di luar pasaran Malaysia,” katanya.
Penyerahan rasmi lesen itu telah diadakan di ibu pejabat DIFC, yang dihadiri wakil daripada kedua-dua pihak pada Khamis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.