[VIDEO] Pas guna lambang sendiri hanya pandangan peribadi – Razali

ISU penggunaan bendera Pas sebagai logo pada Pilihan Raya Umum akan datang hanya pandangan peribadi pemimpin tertentu, kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

Beliau menegaskan, perkara tersebut juga telah disahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pandangan peribadi.

“Sesiapa saja boleh bercakap, pengurusan majlis Perikatan Nasional (PN) begitu mantap, kita akan membuat keputusan mengikut kesesuaian,” katanya ketika wawancara khas bersama SatuBerita pada Rabu.

Beliau ditanya sama ada penggunaan logo secara berasingan dalam kalangan parti komponen PN akan berlaku di Terengganu.

Cadangan menggunakan logo sendiri mula dibangkitkan ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki pada 23 Jun lalu sebagai strategi untuk mencapai kemenangan di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Razali yang juga Ketua Bersatu bahagian Marang berkata, PN akan mencari strategi yang betul bagi memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan tersebut.

Pada masa ini, tambahnya, parti-parti komponen di dalam PN sangat selesa bekerjasama dengan satu sama lain.

“Di akhir mesyuarat PN baru-baru ini, kita tidak ada bercakap tentang “kamu berapa kerusi, kita berapa kerusi” ataupun “PAS berapa kerusi, Bersatu berapa kerusi”, kita bercakap PN kerana yang bertanding PRU15 adalah PN

“Sekiranya calon PAS boleh menang di sesuatu kawasan, kita akan ambil dari PAS, jika Bersatu, kita akan ambil dari Bersatu, ini adalah satu persefahaman yang terbaik pada saya, dan kita putuskan dalam mesyuarat PN baru-baru ini, kita akan berlawan, masuk PRU15 atas tiket PN,” katanya.

Razali menambah, PN yang terdiri daripada lima parti komponen akan mengutamakan calon tempatan berkaliber tidak kira sama ada orang baru, orang lama, pemuda ataupun wanita bagi membawa mandat rakyat pada PRU15.

“Kita mesti mengutamakan calon tempatan yang bukan calang-calang, mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus dan mempunyai rekod bersih, tiada rekod jenayah dan berkelakuan baik.

“Kita akan memberi peluang kepada wanita dan utamakan pemuda disamping gabungkan orang baharu, orang lama dan wanita. Jadi kita tubuhkanlah kerajaaan yang saksama di kalangan rakyat negeri Terengganu,” katanya. -SB