Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peguam didakwa pecah amanah RM1.5 juta -

Peguam didakwa pecah amanah RM1.5 juta

SEORANG peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM1.52 juta.

Mohd Zawahid Ya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia didakwa sebagai peguam di Tetuan Mohd Zawahid & Co yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM1.52 juta, telah melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan di pejabat tetuan tersebut di Subang Bestari, dekat sini, antara 9 Mei dan 11 Ogos 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan dilakukan serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar.

Peguam Fahmi Abd Moin bersama-sama Azizzul Shariman Mat Yuoff dan Ilyani Khuzairi yang mewakili Mohd Zawahid memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung ibu bapa, isteri serta lima anak yang masih bersekolah selain tiga daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Hakim Helina Sulaiman kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.–Bernama