Kes rompak: Pemandu e-hailing, rakan dipenjara

0
356

PEMANDU e-hailing dihukum penjara 10 tahun sementara rakannya dikenakan hukuman sama selama 11 tahun bersama enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Tawau selepas mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki.

Hukuman diputuskan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas kedua-dua tertuduh, Ziana Abdul Zain, 27 dan Hamzah Syed Hamid, 26 mengaku bersalah atas pertuduhan, mengikut laporan BH Online.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi rakan yang masih bebas ke atas harta milik Mohd Rizwan Evaristus, 27, iaitu satu unit telefon bimbit jenama Vivo ketika mangsa menggunakan perkhidmatan e-hailing dipandu Ziana

Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan sebuah hotel, di pusat bandar sekitar Tawau pada jam 3.36 pagi pada 14 Jun lalu.
Ketika rompakan berlaku, Ziana yang juga warga Filipina berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) memandu kenderaan jenis Proton Gen2 bersama dua lelaki termasuk Hamzah yang bersembunyi di tempat duduk belakang

Difahamkan, seorang daripada mereka mengacukan senjata berbahaya (pisau) kepada mangsa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira trauma dilalui mangsa ketika bergelut untuk menyelamatkan diri semasa kejadian, selain kesalahan dilakukan amat serius serta demi kepentingan awam.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bagaimanapun dalam rayuan masing-masing memohon hukuman diringankan.

Awang Kerisnada menetapkan hukuman penjara bermula tarikh mereka ditangkap iaitu 15 Jun lalu, selain memerintahkan Ziana dirujuk kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman untuk diusir pulang ke negara asal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here