Kerajaan perlu pertimbang semula penarikan subsidi makanan – PH

JAWATANKUASA Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mempertimbangkan semula penarikan subsidi keperluan makanan yang berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup PH dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya memandang serius penarikan subsidi berkenaan berikutan tindakan itu boleh melebarkan jurang kemiskinan sedia ada dan menambah masalah sosial dalam kalangan rakyat.

Berdasarkan kenyataan itu, tindakan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan terburu-buru serta bakal menaikkan kadar Inflasi harga barang yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

“Sebaliknya, kami mahu kerajaan meningkatkan subsidi keperluan makanan rakyat dengan mengekalkan harga siling ayam dan telur ayam mesti serta menambah subsidi kepada penternak dan pengusaha mengikut keadaan semasa agar bekalan dalam negara kekal tanpa menghadapi masalah bekalan terputus.

“Selain itu, subsidi minyak masak botol juga perlu dikekalkan dan kerajaan mesti menetapkan mekanisme kawalan pembelian kepada semua rakyat agar bekalan tidak terputus pada masa depan. Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melaksanakan tanggungjawab ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama itu diwakili oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Parlimen Stampin, Chong Ching Jen; Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris; Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan bekas ADUN Maharani, Norhayati Bachok.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan menetapkan tidak akan lagi memberi subsidi kepada penternak, sebaliknya menyalurkannya kepada rakyat yang memerlukan terutama golongan B40 yang berkuat kuasa Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, langkah terbabit bertujuan mengurangkan bebanan rakyat supaya tidak terlalu tertekan dengan kenaikan harga barang.

Mulai Jumaat ini juga, harga ayam tidak lagi disubsidikan kerajaan kerana walaupun kerajaan mengeluarkan RM700 juta untuk tujuan itu supaya tiada kenaikan harga, tetapi harganya tidak kekal seperti ditetapkan sebanyak RM8.90 sekilogram.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut mendesak Subsidi Gas Masak slider (tong gas) dikekalkan serta penjualan RON95 tidak diapungkan seperti kejayaan PH mengekalkan harga pada kadar RM2 seliter, selain menghalang tarif air dan elektrik dinaikkan sekali gus mengekalkan pada harga semasa demi kesejahteraan semua pihak.

Selain itu, jawatankuasa terbabit bakal membawakan beberapa cadangan kepada Majlis Presiden PH dan meminta rakyat bersama-sama melancarkan protes besar-besaran di 222 kawasan Parlimen seluruh negara atas kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup rakyat dengan memulakan tindakan minima seperti FLASHMOB.

“Antara cadangan itu adalah penggunaan hasil cukai secara bersasar dan efisien bagi membantu rakyat. Pada pembentangan belanjawan tahun lalu, kerajaan memperkenalkan Cukai Makmur dan hasilnya mesti dikembalikan kepada rakyat,” kata kenyataan itu.

Di samping itu, jawatankuasa sama mengemukakan cadangan supaya kerajaan menangguhkan projek mega dan tidak menguntungkan rakyat dalam jangka pendek dan panjang, antaranya Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Bandar Malaysia (TR-Exchange) dan lain-lain.

Ia juga meminta kerajaan supaya mengkaji semula semua elaun Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, lapor BH Online.

Pada masa yang sama, jawatankuasa berkenaan berpendapat kerajaan perlu mengecilkan anggota Kabinet semasa dan menamatkan Jawatan Duta-Duta Khas Luar Negara seperti Duta Khas ke India, China, Amerika Syarikat dan Timur Tengah; memotong Elaun Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta memulangkannya kepada rakyat.