Covid-19: 2,003 kes baharu, 1 kematian direkodkan

KES baharu Covid-19 semalam mencatatkan sedikit penurunan kepada 2,003 kes berbanding 2,302 kes kelmarin dengan tiga kes import, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,518,936 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal COVIDNOW, tiga daripada keseluruhan kes baharu itu adalah kes import dengan kes aktif kini adalah sebanyak 28,151.

Berdasarkan data pada laman web CovidNow, sebanyak 1,861 kes sembuh direkodkan semalam dengan jumlah keseluruhan kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 4,492,767 kes.

“Kesemua kes harian tersebut dilaporkan di Selangor (690), Kuala Lumpur (517), Pulau Pinang (179), Sabah (113), Perak (101) Negeri Sembilan (87) dan Johor (72).

“Ia diikuti oleh Melaka (56), Putrajaya (49), Sarawak (41), Kedah (38), Pahang (20), Terengganu (17), Kelantan (14), Perlis (tujuh) dan Labuan (dua),” lapor Kosmo!

Dalam pada itu, sebanyak satu kes kematian Covid-19 dilaporkan menjadikan angka kematian terkini sebanyak 35,746 kes serta tiada kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in dead (BID) dengan jumlah kes BID kekal 7,583 kes.

Sebanyak 141 kes aktif dilaporkan melibatkan 27,025 kes dikuarantin di rumah, 13 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 1,082 kes di hospital, 12 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 19 kes di ICU dengan bantuan pernafasan.