PN, Bersatu mampu juarai agenda perkasa wanita – Wan Saiful

0
278

Perikatan Nasional (PN) dan parti tunjangnya, Bersatu boleh menjuarai agenda untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam landskap politik dan pentadbiran negara.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata sebagai parti politik, amat wajar untuk PN dan Bersatu menjuarai agenda terbabit dengan memastikan calon wanita berkaliber diberikan tempat di peringkat negeri mahupun nasional.

Katanya, semua pihak juga wajar menyokong agenda pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk golongan berkenaan dan remaja yang dibawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Sidang Kemuncak Wanita Global 2022, baru-baru ini.

“Idea untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan korporat juga adalah idea yang perlu disokong. Sektor korporat kekurangan wanita yang hanya terdiri daripada kira-kira satu perempat daripada ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai.

“Jelas sekali masih banyak perkara perlu dilakukan untuk mempertingkat penyertaan wanita dalam pentadbiran sektor korporat. Sokongan berterusan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong strategi dirangka kerajaan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, sosial dan politik,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BH Online.

Tambahnya, mengikut laporan berkala keenam Malaysia yang dikemukakan kerajaan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), wanita hanya membentuk 19 peratus menteri Persekutuan, 19 peratus senator, 16 peratus ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 15 peratus Ahli Parlimen di negara ini.

“Tahniah kepada Datuk Seri Rina atas kejayaan dan komitmen yang ditunjukkan. Kesungguhan beliau memperjuangkan agenda memartabatkan wanita akan membawa manfaat kepada negara secara keseluruhan.

“Kerjasama rapat Malaysia dan Vietnam dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi juga satu perkara yang harus disambut baik oleh kita semua tanpa mengira jantina,” katanya.

Rina, yang juga Ketua Srikandi Bersatu mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Wanita Global 2022 di Bangkok, Thailand yang bermula 23 Jun lalu, telah membentangkan inisiatif Wanita Bangkit digerakkan kementeriannya untuk membantu ekonomi wanita Malaysia pasca COVID-19.

Pada sidang berkenaan, Vietnam menunjukkan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, mempromosi kesaksamaan jantina, pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk wanita dan remaja.

Forum perniagaan dan ekonomi antarabangsa tahunan itu menghimpunkan pemimpin wanita dengan penyertaan keseluruhan 650 perwakilan dari 52 negara, menjadi platform terbaik untuk Malaysia menyerlahkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam memperkasakan ekonomi wanita di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here