335 kompuan kesalahan merokok dikeluarkan KKM

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengeluarkan 335 notis kepada individu serta pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok melibatkan kompaun berjumlah RM93,350, di Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli, berkata kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu dikeluarkan menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan tembakau dan hasil tembakau ke atas 263 premis yang diperiksa sekitar ibu negara, mengikut laporan BH Online.

Daripada jumlah itu, 284 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran Peraturan 11(1) PPKHT, iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan.

Selain itu, 28 lagi notis dikeluarkan bawah Peraturan 12(1)(b) terhadap pemilik atau penghuni premis yang gagal memastikan tiada kegiatan merokok di dalam premis.

“Selain itu, 14 notis kompaun dikeluarkan terhadap tuan premis yang tidak mempamerkan papan tanda larangan merokok; tujuh lagi notis membabitkan larangan merokok terhadap orang belum dewasa.

Satu notis kegagalan mempamerkan larangan jualan tembakau kepada bawah umur juga dikeluarkan serta satu notis membabitkan jualan tembakau tanpa amaran kesihatan bergambar,” katanya kepada pemberita pada malam Sabtu.

Operasi bersepadu itu berlangsung selama kira-kira lima jam mulai jam 6 petang yang disertai 220 anggota daripada KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, Dr Norhayati memaklumkan hasil operasi berkenaan, sebanyak 20 karton rokok dan 156 paket rokok tidak bercukai dirampas kastam mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, manakala KPDNHEP merampas 147 paket rokok tiruan atas kesalahan dagangan palsu mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Selain itu, DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun bagi kesalahan mengambil atau menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana berniaga tanpa lesen,” katanya.