Tajuddin digugurkan daripada MKT UMNO

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Tajuddin Abdullah Rahman, telah digugurkan daripada menganggotai Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, merakamkan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat beliau sebagai ahli majlis tersebut, lapor FMT

“Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri sebagai ahli MKT UMNO,” katanya, dalam surat bertarikh 21 Jun.

Sumber dihubungi FMT mengesahkan kesahihan surat itu.

Ahmad menulis UMNO berharap Ahli Parlimen Pasir Salak itu akan meneruskan khidmat sebagi ahli parti yang komited. Turut dirakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Duta Besar.

Tajuddin pada Ahad mengesahkan menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke republik itu. Beliau menggantikan Datuk Zainal Abidin Bakar yang bersara pada 4 April 2021.

Pelantikan Tajuddin mengundang tanda tanya dan kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk para wakil rakyat dan diplomat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun mempertahankan pelantikan itu, menyifatkan Tajuddin sebagai sebagai ahli politik yang berpengalaman.

Tajuddin pernah dipecat sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd pada Mei 2021, beberapa hari selepas kenyataannya berhubung kemalangan LRT yang mengundang kritikan orang ramai.