KPDNHEP serbu syarikat salah guna logo halal Jakim

0
750

Oleh RIZQI ZABIDI

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan serbuan terhadap sebuah kilang biskut di Bukit Pinang, Alor Setar, kelmarin kerana penyalahgunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada produk makanan dihasilkan.

Pengarah Pejabat KPDNHEP negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya melakukan serbuan itu kira-kira pukul 11 pagi setelah menerima maklumat berkaitan perkara itu dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).

Menurutnya, pensijilan halal yang pernah diluluskan kepada syarikat berkenaan telah ditarik balik pada Mac lalu berikutan tindakan syarikat berkenaan yang melanggar prosedur sijil pengesahan halal Malaysia.

“Penarikan itu menyebabkan syarikat berkenaan tidak boleh lagi menggunakan logo halal Jakim pada kesemua produk dikeluarkan.

“Namun pemeriksaan dijalankan mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan diletakkan dalam kotak, masih memiliki logo halal Jakim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan dijalankan KPDNHEP mendapati hampir semua produk yang siap dibungkus dan diletakkan dalam kotak, masih memiliki logo halal Jakim

Tambahnya, tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Sehubungan itu kesemua produk yang dilabelkan dengan logo halal tersebut telah disita untuk tindakan lanjut.

“Sebanyak 20,193 kotak makanan bernilai kira-kira RM906,609 telah disita,” katanya.

Affendi memaklumkan, berdasarkan maklumat lisan dari pihak pengurusan, syarikat tersebut telah beroperasi lebih 10 tahun lalu.

“Produk keluaran syarikat tersebut telah diedarkan untuk pasaran ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kes tersebut kini disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here