Lelaki tempatan ditahan seleweng 400 liter diesel dengan lori

0
28

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG lelaki tempatan ditahan bersama kira-kira 400 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan ke atas sebuah lori di Taman Permai Jaya, Butterworth, Pulau Pinang pukul 6.30 petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, A. Mogan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter serta satu unit motor pam yang digunakan untuk menjalankan kerja penyelewengan terbabit.

Menurut beliau, lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu itu turut disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM22,160.

“Serbuan itu dibuat hasil maklumat awam dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesalahan itu boleh menyebabkan seseorang individu dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu disita selepas terbabit kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubdisi

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.

“Kita juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here