Konflik dalaman UMNO semakin panas selepas PRU-15 – Fitch

0
382

PERBALAHAN antara puak-puak dalam UMNO dijangka meningkat walaupun Barisan Nasional (BN) mungkin memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Fitch Solutions.

Agensi penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) itu menekankan tentang isu perpecahan melibatkan dua puak utama dalam parti tersebut.

Dua puak terbabit melibatkan kem penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala satu lagi kem menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

FMT melaporkan, Fitch Solutions berkata, walaupun perbalahan politik kurang berkemungkinan berlaku sebelum PRU-15 memandangkan UMNO mungkin merapatkan barisan dan memberi tumpuan untuk memenangi pilihan raya, risiko berlakunya pertikaian antara puak itu akan meningkat apabila kemenangan dicapai.

“Ini boleh menyebabkan Malaysia mengalami keupayaan membuat dasar dan pelaksanaan yang kurang berkesan walaupun BN menang pada pilihan raya.

“Dalam jangka sederhana, tidak kira puak Umno mana yang bakal membentuk kerajaan, kami menjangkakan momentum reformasi akan kekal perlahan.

“Pertikaian antara puak mungkin berterusan di belakang ketika landskap pilihan raya Malaysia kini jauh lebih kompetitif berbanding ketika BN kekal dominan dalam tempoh 61 tahun pertama kemerdekaan dan reformasi Malaysia,” kata agensi penarafan tersebut dalam laporan penyelidikan risiko dan industri negara yang diterbitkannya baru-baru ini.

Fitch Solutions berkata, ia terus menjangkakan pilihan raya diadakan pada separuh kedua tahun ini, iaitu jauh lebih awal dari tarikh akhir September 2023.

Sebahagian besarnya ini disebabkan ‘kemenangan muktamad’ gabungan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac, tambahnya.

Katanya lagi, pembaharuan yang boleh mengembangkan asas cukai dan meningkatkan daya saing tidak mungkin dilaksanakan kerana ia tidak popular.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here