Kes denggi di Terengganu meningkat 4 kali ganda

0
202

DALAM tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu sejak Januari hingga 18 Jun lalu, kes denggi di Terengganu telah meningkat sebanyak empat kali ganda.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, sebanyak 85 kes denggi dilaporkan setakat ini, meningkat sebanyak 64 kes berbanding 21 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Menurut beliau, Kuala Terengganu merekodkan jumlah kes denggi paling tinggi iaitu 54 kes diikuti Kuala Nerus (8), Marang (5), Kemaman (5), Dungun (4), Hulu Terengganu (4), Besut (3) dan dua kes di Setiu.

Katanya,sebanyak 13 kes denggi dilaporkan sepanjang minggu lepas berbanding tujuh kes pada minggu sebelumnya dan ini merupakan bilangan kes mingguan tertinggi sejak Januari kerana purata kes mingguan sebelum ini antara dua hingga sembilan kes.

“Selain itu, terdapat dua episod wabak denggi dikesan berlaku di kawasan Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu namun terkawal dan setakat ini, tiada kematian akibat demam denggi dilaporkan di negeri ini sejak tahun 2021,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari Denggi Asean & Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat JKNT mengikut norma baharu di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, hari ini.

Dr. Kasemani berkata, sepanjang tempoh tersebut JKNT telah memeriksa sebanyak 80,845 premis di seluruh negeri sebagai kawalan dan pencegahan demam denggi dan daripada jumlah itu, 1,445 premis didapati positif.

Jelas beliau, aktiviti pencegahan denggi akan diteruskan melibatkan pelbagai pihak iaitu agensi kerajaan, komuniti seperti Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen).

“Terdapat 235 pasukan Combi di Terengganu yang diharap dapat membantu menggerakkan komuniti bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan denggi dan antara aktiviti dilaksanakan adalah cari dan musnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes serta gotong royong libatkan komuniti.

“Kita juga meminta semua pihak supaya menjaga kebersihan rumah dan tempat tinggal masing-masing dari menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes bagi mencegah penyakit demam denggi,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here