PENGGUNA menjangkakan keadaan akan menjadi lebih teruk selepas subsidi ditarik dan harga barangan keperluan harian tertentu diapungkan.
Surirumah, Ana Omar, 29, berkata keputusan yang diambil kerajaan pasti akan meningkatkan harga ayam dan minyak masak sehingga membebankannya sekeluarga.
“Memang rasa terbeban, sekarang pun dah rasa terbeban walaupun barang itu masih dikenakan subsidi,” katanya kepada SatuBerita.
Tambahnya, keluarganya tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa akur akan kenaikan harga keperluan asas yang semakin tidak terkawal ini.
“Bagi kita, seorang pengguna, barang keperluan tu memang kita nak guna kan? Jadi, sedia ataupun tidak, memang kena hadap sahajalah,” katanya.

Perkara yang sama turut diluahkan Syazani Saidan, 22 yang tidak bersetuju keputusan kerajaan menghapuskan subsidi barang keperluan tertentu khususnya ayam.
“Sebelum ini, harga ayam sekilogram mungkinlah dalam RM6 hingga RM7. Tetapi, sekarang saya boleh nampak RM8.50 kalau di sesebuah pasar raya.
“Kemudian, saya ada baca dalam berita semalam, jika subsidi ayam ditamatkan, harga sekilogram boleh naik sehingga RM10 hingga RM12,” katanya.
Tambahnya, dengan keadaan kewangan merosot dan belum stabil, rakyat semakin tertekan mendapatkan barangan keperluan asas.
Sementara itu, Nicholas Chee Boon, 36, berharap kerajaan meneliti semula keputusan menarik balik subsidi.
“Kalau boleh, kerajaan sambungkanlah subsidi melihat kepada keadaan rakyat sekarang yang susah dengan gaji yang kurang.
“Jadi, kalau boleh disambungkanlah subsidi yang diberikan,” katanya.
Muhammad Radzi, 37, berkata, berita mengenai pemotongan subsidi amat menyedihkan.
“Sebagai pengguna, semestinya saya merasa amat sedih. Sepatutnya kerajaan membantu masyarakat dan rakyat untuk memudahkan urusan seharian mereka,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.