SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong, Tampoi, Melaka Tengah, pukul 8.15 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim yang masih lengkap berpakaian sekolah disahkan maut di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapa saudara berusia 29 tahun bersama-sama neneknya.
“Semakan menerusi rakaman ‘dashcam’ yang diperolehi mendapati kemalangan berlaku apabila perodua Kancil itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum lori terlibat yang melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak sebelum berlaku pelanggaran.
“Akibat rempuhan itu, pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala nenek mangsa yang duduk dibahagian hadapan penumpang patah tangan kanan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat dan rempuhan mengakibatkan kanak-kanak berkenaan yang duduk di bahagian penumpang belakang tersepit sebelum dikeluarkan pasukan bomba.
Mayat mangsa katanya, dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.