78 daripada 120 jemaah positif Covid pulih, dibawa ke tanah suci

0
263

SEBAHAGIAN besar jemaah haji Malaysia yang positif COVID-19 sebelum berangkat ke Tanah Suci telah sembuh dan kini menyertai jemaah yang lain untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sebelum ini seramai 120 jemaah tidak dapat meneruskan penerbangan akibat positif ketika ujian RT-PCR (PCR)  dan pasangan mereka turut memilih membuat penangguhan.

Katanya, ujian PCR adalah syarat yang ditetapkan Arab Saudi iaitu dalam tempoh 72 jam sebelum penerbangan namun, Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah membuat ujian 56 jam sebelum melapor diri di terminal berlepas.

“Kita dapati dalam beberapa penerbangan ada jemaah haji yang keputusan ujian PCR mereka adalah positif. Sehingga kini ada 120 jemaah diambil kira yang positif bersama dengan pasangan mereka yang tidak berlepas bersama.

“Daripada 120 jemaah ini, seramai 78 jemaah telah berada di Tanah Suci selepas disahkan negatif dan tamat jalani tempoh kuarantin. Selebihnya akan menaiki penerbangan seterusnya, manakala 19 orang lagi belum negatif dan kita masih menunggu,” katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya tentang sejauhmana TH akan berusaha membawa kesemua jemaah yang menerima tawaran mengerjakan haji, Syed Saleh berkata : “Sekiranya mereka negatif, TH tetap uruskan penerbangan, selagi mana ada penerbangan bolehlah mereka datang”.

Tambah beliau, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir musim haji pada 4 Zulhijjah dan berharap semua bakal jemaah yang menerima tawaran akan memperoleh keputusan negatif COVID-19, sebelum tarikh tersebut.

Sehubungan itu, bagi memastikan 14,306 jemaah berpeluang menunaikan haji, beliau menasihatkan mereka yang belum berlepas supaya menjaga kesihatan dan tidak terdedah dengan sebarang perhimpunan sebelum ujian PCR dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata sehingga kini jemaah Malaysia berada dalam keadaan sihat dan tiada kes kritikal yang memerlukan rawatan lanjut.

“Kebanyakan kes kesihatan yang dirujuk ke klinik seliaan TH ialah berkaitan masalah pernafasan dan penyakit kulit akibat cuaca kering dan panas…agak kurang jemaah kita yang perlukan rawatan di hospital,” katanya.

Katanya faktor kurangnya jemaah dimasukkan ke hospital berbanding tahun sebelum ini adalah kerana keberkesanan pemeriksaan kesihatan yang agak ketat pada tahun ini selain umur jemaah yang lebih muda dan aspek keperihatinan jemaah dalam menjaga kesihatan.

— BERNAMA

Wednesday, 22 June 2022

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here