MENJADI lumrah seekor monyet disifatkan sebagai sejenis haiwan yang nakal, agresif, dan di luar jangkaan lebih-lebih lagi apabila haiwan ini boleh bertukar agresif sekelip mata dan menyerang manusia atau binatang lain.
Terbaharu, satu video dimuat naik di TikTok memaparkan seekor monyet mendukung seekor anak kucing sambil memanjat pokok mendapat perhatian netizen sehingga mencapai lebih 400 ribu tontonan dengan lebih 33 ribu tanda suka dalam masa tiga jam pada Selasa.
Video berdurasi 14 saat yang dimuat naik pengguna yang menggunakan nama @ainasyamimi itu memaparkan seekor monyet yang dirantai pada sebatang pokok mendukung seekor anak kucing sambil memanjat pokok berkenaan.
Dalam perkongsian dua lagi video di akaun itu, dapat dilihat monyet berkenaan turut memangku anak kucing yang sama sambil menikmati buah rambutan serta seolah-olah sedang marah apabila pemilik video memegang kucing tersebut.
Video tular berkenaan mendapat reaksi yang bercampur baur dari netizen namun, lebih ramai yang khuatir dengan keadaan anak kucing tersebut serta risau ia terjatuh dari pokok sekiranya monyet tersebut melepaskan pelukannya.
“Aku risau dia dah bawak naik atas di lepaskan je kucing tu, member pasrah je,” ujar @dakayie di ruangan komen.
“Tak boleh bayang kalau monyet tu terlepas kucing yang dia pegang, parah tu hahaha,” kata @yunss_00
“Pastikan kucing itu selamat,” luah seorang lagi pengguna, @koofloofs.
Bagaimanapun, pemilik video memaklumkan, orang ramai tidak perlu risau kerana kedua-dua haiwan berkenaan sentiasa berada di bawah pengawasannya, malah anak kucing berkenaan dikatakan sudah menganggap monyet itu seperti ibunya sendiri.
“Kadangkala si kecik (kucing) itu yang sendiri pergi dekat monyet itu nak main sekali. Mereka dah jadi ‘bestie’,” katanya di ruangan komen video berkenaan.
Tidak kurang juga yang tercuit hati dengan gelagat kedua-dua haiwan berkenaan yang disifatkan sebagai comel apabila anak kucing berkenaan kelihatan ‘pasrah’ dilakukan sedemikian oleh monyet berkenaan. –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.