PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan saksi di mahkamah, beliau menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.
Beliau mengulangi pendiriannya untuk bersedia dipanggil dan disiasat pihak berkuasa termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran kes pendedahan di mahkamah itu.
“Saya pun sudah buat kenyataan, sudah ada orang buat laporan polis. Biarlah polis siasat. Kalau SPRM mahu panggil saya pun, saya tak takut kerana saya cakap yang benar.
“Setakat ini tidak ada (dipanggil SPRM atau polis). Saya cakap benar. Saya tak pernah bohong. Komen (pihak lain) itu masing-masing punya komenlah. Saya tak rasuah. Saya tak terima apa-apa. Tapi kalau orang lain kata begitu, tak tahulah.
“Sekarang pun boleh kalau mahu (SPRM) siasat. Esok pun boleh.. datanglah,” katanya pada sidang media selepas Majlis #RuangBelia anjuran Institut Masa Depan Malaysia di Sime Darby Convention Centre (SDCC), Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga enggan membuat sebarang kenyataan balas berhubung perkara itu, dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan dan tindakan oleh pihak berkuasa.
SPRM dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.