Samirah, dua remaja bebas pertuduhan kes bunuh CEO Cradle Fund

0
309

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa keadaan tidak menunjukkan pelakuan tertuduh dan dua kanak-kanak itu (kini berumur 19 dan 16 tahun) mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Katanya pihak pendakwaan juga gagal membuktikan pada masa yang dikatakan dalam pertuduhan berlakunya pembunuhan.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh (Samirah) dan kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2. Oleh itu tertuduh, kanak-kanak 1 dan kanak-kanak 2 dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh,” katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Ab Karim berkata, keterangan yang menunjukkan bahawa Samirah Muzaffar dan dua remaja adalah orang terakhir bersama si mati, tidak boleh dikatakan menjurus kepada kesalahan membunuh Nazrin Hassan.

Beliau berkata keterangan itu mestilah mempunyai kesinambungan kepada Samirah dan dua remaja (kini berumur 19 dan 16 tahun) dengan kesalahan membunuh.

“Dalam kes ini tidak ada sebarang keterangan langsung yang menunjukkan ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan ini (membunuh) serta tidak ada kesinambungan antara masa-masa kejadian dengan ketiga-tiga mereka.

“Dengan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan hanya ‘mengandaikan’ sahaja, kebersamaan terakhir si mati dengan tertuduh dan dua kanak-kanak itu pada masa-masa yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Mengandaikan sahaja adalah satu syak wasangka, ia bukanlah satu keterangan pembuktian sebenar.

“Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan teori orang terakhir bersama si mati,” katanya ketika membacakan penghakimannya selama satu jam.

Ab Karim  juga berkata pihak pendakwaan ada menggariskan beberapa kelakuan-kelakuan yang menjadi sebahagian daripada keterangan.

“Perlakuan tidak menghubungi pihak bomba, tiada reaksi sedih, tidak meraung dalam van jenazah…semuanya lebih kepada persepsi pihak pendakwaan dan ia tidak berkaitan, malah ada sesetengah kelakuan itu tidak dapat dijelaskan melalui saksi-saksi pendakwaan.

“Begitu juga dengan tingkah laku kanak-kanak 1 yang tidak keluar rumah dan mesej whatsapp ‘what’s the plan’ tidak boleh diterima. Kelakuan kanak-kanak 2 pula, mengenai telefon meletup adalah tidak jelas,“ katanya.

Selain itu Ab Karim berkata mahkamah mendapati masa kejadian 1.30 pagi hingga 4 pagi, 14 Jun 2018 adalah bertentangan dengan keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan dan tidak meyakinkan mahkamah.

Oleh itu katanya pendakwaan gagal menunjukkan kematian mangsa antara 11.30 malam 13 jun 2018 hingga 4 pagi 14 jun 2018 (seperti dalam pertuduhan).

Mengenai tong petrol milik Samirah, Ab Karim berkata mahkamah mendapati keterangan mengenai petrol itu tidak ditunjukkan mempunyai hubungan dengan tertuduh, dan ahli kimia tidak pernah dipanggil untuk beri keterangan mengenai perkara itu.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga mereka, oleh itu tertuduh, ‘kanak-kanak 1’ dan ‘kanak-kanak 2’ dilepas dan dibebaskan atas tuduhan membunuh.

Pada prosiding itu Samirah yang memakai pelitup muka dilihat duduk di dalam kandang tertuduh, manakala dua remaja yang juga memakai pelitup muka duduk di luar kandang tertuduh di sebelahnya.

Samirah serta dua remaja lelaki itu dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun Seksyen 97(1)  Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri, mengikut di mana kesalahan itu berlaku seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan kes Samirah yang didakwa membunuh suaminya itu bermula pada 6 Sept 2019.

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat Hazlan, LS.Leonard, S.Suresh, Savreena Kaur dan Zahria Eleena Redza.

— BERNAMA

 
MAHF NSF SSA AZH

Tuesday , 21 June 2022

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here