Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

0
287

POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barangan kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di sini.

Katanya penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di sini.

“Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

“Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here