TINDAKAN pihak berkuasa untuk menahan dan memberikan saman kepada sekumpulan penunggang motosikal di Tanjung Malim, Perak pada Ahad ialah satu tindakan undang-undang yang wajar.
Peguam, Akmal Shamsul Kahar menegaskan bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk melakukan penahanan seperti itu di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 untuk menjaga ketenteraman awam.
“Pihak polis diberikan hak serta kuasa untuk mengawal ketenteraman dan keamanan jalan raya mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967.
“Dalam Seksyen 26 Akta Polis juga menyebut bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mendirikan sekatan jalan raya sekiranya difikirkan perlu untuk bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.
Selain itu, beliau juga percaya pihak polis mempunyai maklumat daripada risikan dalaman bagi memberikan sebab dan alasan kukuh untuk melakukan penahanan.
“Jadi, apabila ada penahanan secara beramai-ramai ini, kita nampak bahawa saman yang dikeluarkan itu adalah daripada kesalahan seperti tiada cukai jalan dan sebagainya.
“Maknanya, polis sudah pasti mempunyai pihak risikan mereka mengenai perkara ini dan semestinya polis berjaya menghidu kesalahan-kesalahan itu,” katanya.
Ditanya mengenai segelintir pihak yang melihat perkara itu sebagai cara salah untuk mengeluarkan saman, Akmal menyangkal perkara itu melihat kepada kuasa yang diberikan kepada mereka.
“Sekiranya ada pihak mengatakan bahawa ini adalah satu tindakan salah laku daripada pihak polis, mereka boleh rujuk kepada muka pengadilan atau lapor kepada Jabatan Intergiti.
“Tetapi mustahil untuk mengatakan mereka tidak mempunyai alasan kukuh untuk melakukan penahanan itu kerana saya yakin, setiap penahanan yang berlaku secara besar-besaran, pasti mereka mempunyai sebab untuk melakukannya,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan video yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal ditahan pihak berkuasa ketika dalam perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan, Tanjung Malim.
Susulan penahanan itu, sebanyak 312 saman telah dikeluarkan pihak polis di atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.