Rafizi dedah cara untuk PH menang PRU15

0
294

PAKATAN Harapan (PH) boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya 70 peratus pengundi tegar mereka keluar mengundi, kata bakal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, Rafizi berkata, jumlah peratusan keluar mengundi itu adalah peningkatan 10 peratus dari purata 60 peratus pengundi yang keluar mengundi sedia ada sejak beberapa pilihan raya negeri.

Rafizi berkata,PH boleh menawan kembali Putrajaya sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya mendapat 30 peratus dari jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum dan berjaya memikat kembali lima peratus dari pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau secara rasmi turut mengumumkan akan memulakan kempen untuk PRU15 pada 1 Julai ini selepas kembalinya ke dalam politik.

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga menjangkakan Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baru.

Katanya, tumpuannya dalam siri kempennya nanti akan mendekati dengan pengundi tegar PKR dan PH di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan selain mendekati pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali dalam kalangan bawah 25 tahun.

“Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

“Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada 2 Julai nanti dari jam 2 hingga 5 petang di Kuala Lumpur.

“Kami meletakkan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here