SEORANG lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun ditembak mati dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Pihak polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan disamun tiga suspek bersenjatakan pisau di Bandar Tasik Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur, pada 11 November 2021.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam kejadian itu, wang tunai, beberapa barang kemas serta tiga jam tangan berjenama milik mangsa dianggarkan berjumlah RM693,000 dilarikan oleh suspek.
“Hasil siasatan dilakukan, kami membuat serbuan di sebuah unit kondominium di Taman Salak Selatan pukul 10 malam pada 18 Jun lalu.
“Ketika serbuan dilakukan, suspek melepaskan tembakan ke arah polis menyebabkan kami bertindak melepaskan tembakan balas bagi melindungi keselamatan serta nyawa pasukan bertugas.
“Dalam kejadian itu, suspek berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia dan kami menemui satu pistol semi automatik jenis C7 75 Compact yang mengandungi lima peluru hidup di dalam kelopak serta satu peluru di dalam silinder peluru (chamber),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.
Pihaknya turut menemui satu bom tangan di dalam beg silang suspek berkenaan.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan tiga rekod dikehendaki selain pernah ditahan atas pembabitan 26 kes jenayah termasuk kes bunuh, samun, pemilikan senjata api, khianat serta pecah rumah.
“Susulan insiden itu, kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan Op Tiger bagi mengesan rakan suspek yang membawa kepada penahanan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 28 hingga 67 tahun dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, sejak dua bulan lalu dengan tangkapan terbaru 6 pagi tadi.
“Hasil serbuan dilakukan, kami merampas satu pistol jenis CZ Compact dan dua kelopak mengandungi 28 peluru di sebuah gudang di Klang Utara, Selangor.
“Semakan dilakukan mendapati semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripada mereka mempunyai 40 rekod jenayah serta dadah.

“Kami percaya kumpulan ini terbabit dalam 15 kes samun dan tiga kes bunuh sejak 2009,” katanya.
Katanya, usaha mengesan saki-baki kumpulan terbabit sedang giat dijalankan.
“Permohonan reman terhadap semua suspek terbabit dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api 1960 dan Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur di talian 03-21460685, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.