Pengguna terus dedah kelemahan, kerosakan infrastruktur LRT, MRT

0
700

TAMBANG percuma Transit Aliran Ringat (LRT) dan Transit Aliran Deras (MRT) selama sebulan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu tidak meredakan ketidakpuasan hati netizen terhadap kualiti kemudahan pengangkutan awam itu.

Menerusi tinjauan SatuBerita di laman media sosial, seorang pengguna LRT Khaliq Ghazali menerusi ciapannya Sabtu lalu memuat naik gambar kerosakan tangga dan eskalator yang menyebabkan orang ramai terpaksa menggunakan satu laluan sahaja untuk naik dan turun.

“Tangga satu lagi penuh sesak sebab semua orang tertumpu satu tempat. Kalau lalu tangga ini nanti kena renjatan elektrik ke?” katanya dalam nada sinis, menyifatkan keputusan untuk menutup tangga tersebut sebagai tidak masuk akal.

Kerosakan eskalator tidak asing lagi buat warganet dan sering menjadi bahan sindiran kepada perkhidmatan pengangkutan awam tersebut, pengguna Twitter Nabil Ersyad memuat naik gambar eskalator rosak di LRT PWTC.

“Virus eskalator sudah tiba di LRT PWTC, proses membaik pulih pada 22 Jun, nanti saya cek balik,” katanya yang menggunakan perkhidmatan itu secara harian.

Dalam pada itu, seorang pengguna Faeez Harith memuat naik gambar bumbung bocor dan air bertakung di lantai menyebabkan bahaya untuk laluan orang ramai.

Bukan itu sahaja, pengguna bernama Hariz Rahim membuka bebenang panjang di Twitter menyifatkan LRT Subang Alam tidak ubah seperti set filem zombi apabila waktu malam akibat penyelenggaraan tidak diambil berat

Gambar-gambar yang dikongsi oleh Hariz menunjukkan tahap kemerosotan di sekitar stesen-stesen laluan Kelana Jaya yang menyedihkan kerana stesen itu agak baharu.

“Lampu dari pintu masuk ke stesen semua tak ada lampu, lampu di tempat parkir sangat sedikit, adakah ini selamat untuk penumpang yang balik lewat terutamanya wanita.

“Seterusnya, papan tanda stesen dah pudar, lampu tinggal dua sahaja, lampu sepanjang eskalator pun tak buka,” katanya

Keadaan gelap dan tiada lampu di stesen LRT Subang Alam – Foto Media Sosial oleh @HarizRahim

Dia menyambung dengan memuat naik beberapa gambar lagi menunjukkan suasana di ruang legar yang gelap dan bumbung bocor dan membasahi bangku di ‘platform’ (pelantar).

“Untuk orang macam saya, tiada masalah untuk melihat keadaan tetapi bagaimana untuk warga tua yang mempunyai masalah penglihatan, nak baca papan tanda pun tak nampak, hampir setiap hari keadaan gelap macam ini.

“Macam mana bumbung boleh bocor sampai nak duduk di bangku pun basah dengan lantai licin lagi,” katanya.

Selain itu, kipas di sepanjang pelantar juga tidak berfungsi dan hanya mengharap pada angin untuk menyejukkan penumpang.

Dia berpendapat, tumpuan harus diberikan kepada memelihara dan menambah baik infrastruktur semasa dan bukannya membina infrastruktur baharu yang lebih mahal – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here