Razlan patut cabar pemimpin UMNO disebut terima dana UKSB buat penafian

0
628

AHLI Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razlan Rafii dicabar mendesak pemimpin UMNO yang turut disebut menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) membuat penafian seperti dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, tindakan Razlan membangkitkan isu supaya Muhyiddin didakwa bukan sahaja tidak relevan tetapi bersifat ‘kebudak-budakkan’ dan hanya mahu mensensasikan keadaan.

“Muhyiddin orang pertama menafikan, malah Muhyiddin juga menyatakan sedia untuk di siasat. Jadi apa isu Razlan mahu Muhyiddin didakwa pula.

“Peliknya, kenapa pemimpin UMNO yang disebut di mahkamah, Razlan tak minta didakwa pula. Sehingga sekarang tidak ada penafian pun daripada pemimpin-pemimpin UMNO itu,” katanya kepada SatuBerita.

Beliau mengulas kenyataan Razlan yang mencadangkan Muhyiddin perlu didakwa di mahkamah kerana namanya turut disebut menjadi penerima dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) pada perbicaraan pada Jumaat. 

Ashraf Mustaqim turut mempersoalkan tindakan Razlan yang berdiam diri apabila Datuk Seri Najib Razak disabit tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

“Ke atas Najib Razak sendiri juga, kita perlu persoalkan. Kenapa Najib Razak termasuk Razlan dan orang-orang UMNO nak mensensasikan cerita dan pergi bertanya atau mempersoalkan satu hal yang sudah dinafikan.

“Kenapa tidak mencabar individu dalam kalangan UMNO? Itu persoalan yang besar yang perlu ditanya kepada Razlan,” soalnya.

Terdahulu, Muhyiddin menerusi kenyataan berkata, gambaran yang seolah beliau menerima sogokan itu adalah palsu kerana pada ketika itu beliau sedang menjalani pembedahan kanser dan tugasan sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN) telah diambil alih oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, Muhyiddin berkata, beliau sedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Razlan mengenai Hakim yang dilantik adalah daripada zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ashraf Mustaqim berkata, sistem kehakiman Malaysia adalah bebas dan dakwaan Razlan adalah satu penghinaan buat sistem kehakiman negara.

“Hari ini sistem kehakiman Malaysia adalah bebas melainkan UMNO. Ini pemikiran UMNO, UMNO fikir susun hakim, peguam dan sebagainya.

“Hari ini, badan kehakiman adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong, apa yang Razlan cakap adalah satu penghinaan buat sistem kehakiman kita,” tegasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here