Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Warga emas mengaku tidak bersalah curi pakaian di butik -

Warga emas mengaku tidak bersalah curi pakaian di butik

SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri pakaian bernilai lebih RM300 milik sebuah butik, semalam.

Chan Teck Yu, 73, seorang pesara, didakwa mencuri dua helai baju dan dua helai seluar pendek milik Uniqlo di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang pada 11.20 pagi mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya tertuduh hendaklah dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguam Dashalini Kanasan, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan minimum memandangkan anak guamya tidak memiliki rekod jenayah selain berdepan masalah kesihatan termasuk darah tinggi dan jantung.

“Anak guam saya juga mengalami Alzheimer peringkat awal dan dia hidup menduda selama 20 tahun serta mempunyai dua orang anak,” katanya.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan Chan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai serta menetapkan 21 Julai untuk sebutan bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal. – BERNAMA