Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tuduhan pindaan rasuah Sistem VLN, Ahmad Zahid mengaku tidak salah -

Tuduhan pindaan rasuah Sistem VLN, Ahmad Zahid mengaku tidak salah

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 69, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob untuk meminda pertuduhan ketiga.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan pertukaran Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.

Sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa, Ahmad Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya, sesuatu benda berharga iaitu wang tunai 15,000 Swiss Franc tanpa balasan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang beliau mengetahui syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Country Heights, Kajang pada Mei 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan masih berlangsung di hadapan Hakim Mohd Yazid. – Bernama