MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mahu mendahului Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang turut melibatkan salah seorang Exco di negeri itu.
Beliau mahu SPRM diberi ruang untuk menjalankan siasatan selain enggan mengulas perkara tersebut yang didakwa ‘didedahkan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.
“Mana-mana pihak khususnya wartawan yang berhasrat bertanya lanjut mengenai isu ini boleh merujuk kepada ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang dilihat ‘over’ (melampau) dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, di Stargate, Alor Setar, hari ini, lapor Astro Awani.
Pada masa sama Muhammad Sanusi menolak gesaan dan cabaran yang dibuat bekas Exco kerajaan negeri Kedah itu bagi mendedahkan nama individu yang terlibat selain menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak signifikan.
“Saya baca, Asmirul yang tulis cerita itu, kena pi tanya Asmirul, saya tidak ada jawapan… saya tidak terima cabaran dia (untuk dedahkan nama pelaku).
“Cabaran itu tidak signifikan, buat apa saya nak bising-bising (dan mendahului SPRM), biar agensi (itu) buat kerja…,dia (Asmirul) pun nampak ‘over’ sikit, nak suruh orang bercakap, kena pi tanya dia,” katanya.
Minggu lalu, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah.
Sebuah media yang memetik sumber memaklumkan, langkah itu turut melibatkan siasatan terhadap portfolio dipegang salah seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Kedah.
Asmirul dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya menggesa Muhammad Sanusi membuat kenyataan akhbar menafikan wujudnya sebarang salah laku Exco Kedah terbabit dengan terus memberikan kerjasama sebaik-baiknya kepada SPRM menjalankan siasatan selain mendedahkan nama individu terlibat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.