Empat mayat terapung ditemukan di perairan Johor

EMPAT mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di lokasi berbeza sekitar perairan Johor Timur, Kota Tinggi Johor, dalam tempoh 48 jam sejak 14 Jun.

Penemuan itu dilaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menerusi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam, berkata kelmarin pihaknya menerima maklumat penemuan dua mayat terapung oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Lima masing-masing jam 12.50 dan 1.10 tengah hari.

Beliau berkata, dua mayat itu dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musoh jam 4.30 petang 14 Jun lalu.

“Maklumat pertama diterima jam 10.30 pagi semalam daripada pemancing yang menemui satu mayat terapung di kedudukan 8.6 batu nautika timur laut Tanjung Balau, sebelum aset digerakkan ke lokasi.

“Seterusnya, jam 12.40 tengah hari satu lagi mayat ditemui oleh nelayan tempatan di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.

“Kemungkinan ada berlaku bot karam, namun sehingga hari ini, MRSC Johor Bahru atau mana-mana balai polis belum menerima sebarang aduan orang hilang di laut. Mereka (MRSC) juga sudah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia dan pihak terbabit memaklumkan tiada orang hilang dilaporkan setakat ini,” katanya, lapor BH Online.

Mohd Najib berkata, pihaknya percaya semua mayat yang ditemui itu adalah warga asing.

“Empat mayat itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.