Ahmad Zahid terima RM3 juta tunai dalam bagasi

0
485

BEKAS Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM3 juta yang diletak dalam bagasi daripada syarikat itu.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran; David Tan Siong Sun, 47, berkata beliau dan bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun pergi ke kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Seri Satria, Putrajaya, bagi menyerahkan wang itu kepada Ahmad Zahid.

“Saya meninggalkan bagasi itu di ruang tamu kediaman berkenaan sebelum keluar. Saya dan seorang lagi bekas Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, ada berjumpa Ahmad Zahid di kediaman sama.

“Kami membincangkan operasi perniagaan dan isu politik di ruang tamu kediaman itu. Selepas seketika, saya keluarkan sampul surat (mengandungi wang) dan tinggalkannya atas meja sebelum salam Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan beredar. Saya tak ingat tarikh dua perjumpaan itu,” katanya, lapor BH Online.

Ditanya jika Ahmad Zahid memulangkan kembali wang berkenaan, saksi pendakwaan ke-17 itu menjawab ringkas: “Tidak”.

Pada 18 Mei lalu, Vui Khiun mengesahkan syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bayaran kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu bermula akhir 2014 dengan SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Siong Sun berkata, beliau turut diarahkan Vui Khiun untuk menyerahkan wang kepada Ahmad Zahid secara sekali untuk Perhimpunan Agung UMNO, sambutan Aidilfitri serta hari jadi isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Kita juga serahkan wang secara bulanan kepada Ahmad Zahid. Wang terbabit bukan daripada akaun bank UKSB. Syarikat itu tiada mempunyai dana yang cukup, sebab itu kita meminta bantuan rakan kongsi di Hong Kong.

“Dana dari Hong Kong ke Malaysia akan melalui pihak pengurup mata wang asing di Kuala Lumpur sebelum diserahkan secara tunai kepada saya.

“Selepas itu, saya akan menyimpan wang dalam peti simpanan dan bila tiba masanya untuk serahkan wang itu, saya akan keluarkan amaun diperlukan dan letakkan dalam sampul surat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here