SERAMAI 321 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Terengganu yang diumumkan hari ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar mencatatkan keputusan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil semasa peperiksaan SPM 2021 pada Mac lalu.
Menurut beliau, Terengganu juga merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2021 adalah 4.72 berbanding GPN kebangsaan iaitu 4.86.
“Seramai 17,206 calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2021 di 169 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu melibatkan 1,717 petugas,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, di Kuala Nerus, hari ini, lapor Sinar Harian.
Abdul Muie berkata, seramai 9,674 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.
Selain itu katanya, lapan sekolah turut mempamerkan keputusan baik apabila semua calonnya lulus semua mata pelajaran.
Lapan sekolah itu kata beliau adalah SM Sains Kuala Terengganu, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Sultan Mahmud, SM Sains Dungun, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kemaman, SM (Atas) Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling.
“Calon SPM 2021 merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Terengganu berjaya merekodkan keputusan cemerlang.
“Saya harap keputusan SPM tahun 2022 nanti akan bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, di Pahang seramai 300 daripada 17,008 atau 1.76 peratus calon yang mengambil peperiksaan SPM 2021 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih Kuantan,Tham Kai Wen menjadi calon tunggal memperoleh kesemua gred A+ di Pahang.

Menurutnya, pencapaian keseluruhan prestasi Gred Purata Negeri (GPN) negeri ini, 4.74 pada SPM 2021.
“Sebanyak 10 buah sekolah tersenarai sebagai sekolah terbaik di negeri ini termasuk tiga sekolah harian.
“Sekolah yang tersenarai ialah Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Kuantan (Kuantan), Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah (Raub), SBPI Temerloh (Temerloh), Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong (Bentong), SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Kuantan), SBPI Tun Abdul Razak (Pekan) dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah (Pekan).
“Sementara itu, tiga sekolah harian, SMK Abdul Rahman Talib (Kuantan), SMK Seri Bera (Bera) dan SMK Jengka Pusat (Maran) turut tersenarai sebagai 10 sekolah terbaik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 Negeri Pahang di SMK Abdul Rahman Talib (Smart) Kuantan, hari ini.
Rosli berkata, daripada 106 Calon Berkeperluan Khas (CBK), lima calon memperoleh sekurang-kurang 5A dalam SPM 2021 melibatkan dua calon kurang upaya penglihatan dan tiga calon masalah pembelajaran.
“Sementara itu, prestasi calon dalam kalangan pelajar Orang Asli, seramai 24 orang daripada 616 calon memperoleh keputusan sekurang-kurang 5A.
“Seorang calon dalam kalangan kaum itu memperoleh 11A, 9A (seorang), 8A (seorang), 7A (empat), 6A (empat) dan 5A (13),” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.