PENINGKATAN harga tepung gandum kebelakangan ini memaksa pengusaha produk makanan berasaskan bahan mentah tersebut mencari kaedah lain bagi menjimatkan kos operasi.
Seorang peniaga piza, di pekan Pantai, Seremban, Mohd Hafiz Ahmad, 38, berkata, harga tepung gandum yang melonjak mencetuskan kebimbangan kepada operasi perniagaannya kerana margin keuntungan diperoleh.
“Sebelum ini, harga seguni tepung tinggi protein seberat 25 kilogram RM70 namun kini sudah naik sebanyak RM88 seguni. Saya menggunakan sebanyak lapan guni tepung sebulan.
“Walaupun masih boleh bertahan, namun margin keuntungan menurun. Setakat ini saya tidak menaikkan harga dan hanya mengurangkan kos overhead termasuk membuat penjimatan elektrik dalam operasi.
“Saya kini hanya mengehadkan penggunaan sebuah peti ais bagi simpanan barang selain mengambil pekerja separuh masa pada hujung minggu,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Mohd Hafiz berkata, dia juga perlu mencari ramai pembekal bagi membolehkannya mendapat harga lebih murah untuk sesuatu bahan mentah.
Selain itu, pengusaha roti canai sejuk beku, Khairul Najib Asarulah Khan, 31, berkata, harga bekalan bahan mentah terutama tepung gandum bukan sahaja melonjak malah ada pembekal mengehadkan pembelian.
“Sebelum ini harga bagi setiap kotak yang di dalamnya ada 10 peket sekilogram tepung gandunm RM25 namun baru-baru ini ia sudah melonjak RM30 sekotak. Pembekal turut memaklumkan harga tersebut meningkat lagi sebanyak RM4 tidak lama lagi.
“Kebanyakan pemborong memaklumkan mereka dapat bekalan bahan mentah itu dalam kuantiti terhad menyebabkan terpaksa hadkan setiap pembelian,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum ini terpaksa menaikkan harga beberapa produk keluarannya berikutan bahan mentah lain seperti marjerin, susu dan telur ayam berlaku kenaikan harga.
“Berkemungkinan langkah yang sama terpaksa kami ambil sekali lagi jika tidak dapat menampung kos kenaikkan bahan-bahan mentah ini. Tentunya kenaikan harga ini bukan sahaja memberi bebanan kepada pengusaha malah pengguna dalam perbelanjaan mereka,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.