Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) yang akan dikuat kuasa pada 21 Jun ini akan diterima pakai oleh negeri lain untuk penyeragaman undang-undang berkaitan di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata ia merupakan hasrat Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) agar Akta 814 dijadikan undang-undang model di setiap negeri, mengikut laporan BH Online.
Tambah beliau, setakat ini, akta berkenaan digubal bagi pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
“Saya berharap agar Akta 814 ini dapat memartabatkan institusi perundangan syariah dan memperkasa profesion guaman syarie melalui kawal selia profesion ini secara menyeluruh setaraf dengan profesion guaman yang dikawal selia di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166).
“Kewujudan Akta 814 ini juga diharapkan dapat meninggikan kedudukan mahkamah Syariah serta mengarus perdanakan undang-undang Syariah setara dengan undang-undang sivil,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, tarikh penguatkuasaan akta itu selaras Penetapan Tarikh Akta 814 dan Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No 2) 2019 (Akta A1606).
Kedua-dua penetapan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei 2022 dan ditandatangani oleh Setiausaha Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.
Usaha mewujudkan akta berkaitan profesion guaman syarie bermula sejak tahun 1984 dan kemudian, pada 1995, Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil meneruskan usaha penggubalan Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) sehingga selesai.
“Sebelum kewujudan Akta 814, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan dikawal selia mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 [P.U. (A) 408/1993] yang dibuat mengikut seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
“Selepas Akta 814 berkuat kuasa kelak, profesion guaman syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan dikawal selia di bawah Akta 814 ini,” katanya.
Akta 814 sebelum ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 sebelum dibawa ke Dewan Negara pada 31 Julai 2019 dan kemudiannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 November 2019 dan telah disiarkan dalam Warta pada 19 November 2019.
Idris menjelaskan, penguatkuasaan Akta 814 turut ditangguhkan bagi memberi peluang supaya 10 kaedah yang perlu digubal di bawah akta itu dapat disiapkan agar pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan teratur.
“Penggubalan kaedah itu diusahakan oleh Jabatan JAKIM dengan usaha sama daripada pelbagai pihak iaitu Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jawatankuasa Peguam Syarie (JKPS) dan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council). Selain itu, beberapa siri bengkel secara intensif diadakan serta dikendalikan oleh pihak yang berkepakaran.
“Menurut subseksyen 49(1) Akta 814, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah, selepas tamat tempoh 30 hari dan tidak lewat daripada 60 hari dari tarikh permulaan kuat kuasa Akta 814, memanggil semua anggota Badan Peguam Syarie bagi suatu mesyuarat pada bila-bila masa dan mana-mana tempat yang akan ditetapkan untuk memilih 13 anggota Majlis Peguam Syarie yang disebut dalam perenggan 48(2)(b) Akta 814 dalam kalangan anggotanya,” katanya.
Sehubungan itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama JAKIM sedang melaksanakan gerak kerja untuk menganjurkan mesyuarat agung Badan Peguam Syarie pertama yang akan diadakan selepas tempoh 30 hari dari tarikh permulaan kuat kuasa Akta 814.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.