KEMENTERIAN Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang pemilik stesen minyak di Pantai Remis, Manjung, Perak bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan diesel bersubsidi.
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata pihaknya turut menyita 23,200 liter diesel, sebuah lori tangki, tiga unit skid tank, 2 unit nozel dan pam minyak diesel yang dianggarkan berjumlah RM202,000, mengikut laporan Astro AWANI.
“Aktiviti penyelewengan ini disyaki telah berlaku sejak lima bulan lalu hingga sekarang disebabkan harga diesel komersil kini mencecah hampir RM5 seliter, sedangkan harga di stesen minyak RM2.15,” katanya dalam kenyataan di Manjung pada Selasa.
Tambah beliau, kira-kira 12 tengah hari semalam, sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Manjung telah menjalankan pemeriksaan ke atas minyak di kawasan Pantai Remis.
Menurutnya, tindakan itu berdasarkan aduan dan risikan berkaitan aktiviti pembelian barang kawalan diesel bersubsidi menggunakan lori tangki secara berulang.
“Hasil intipan yang dijalankan, didapati sebuah lori tangki berulang kali mengunjungi stesen minyak tersebut untuk membeli diesel dan melakukan pengisian ke dalam tangki kenderaan bagi tempoh satu hingga dua jam di stesen minyak yang sama.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang berumur lingkungan 20-an telah mengisi sebanyak tiga kali di stesen yang sama,” ujarnya.
Hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati kedua-dua premis stesen minyak dan pemborong barang kawalan diesel itu disyaki adalah individu yang sama dan pernah mempunyai rekod kesalahan lampau dengan KPDNHEP.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.