DI telan mati emak, diluah mati bapa. Itulah ungkapan yang paling tepat menggambarkan kesukaran yang dihadapi pemilik bengkel kenderaan hari ini.
Kebanyakan mereka kini berada dalam keadaan serba salah ekoran harga alat ganti meningkat sehingga membebankan pelanggan.
Pemilik bengkel kereta, Devanand Arunasalam, 36, mengakui harga alat ganti meningkat mendadak sejak kebelakangan ini.

“Minyak hitam menunjukkan kenaikan sehingga RM70 mengikut jenis dan kualiti.
“Selain itu, sebelum ini, pad brek dijual pada harga RM85 daripada pembekal, namun kini alat ini sudah dijual mereka pada harga RM110,” katanya kepada SatuBerita baru-baru ini.
Devanand berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain melainkan menaikkan harga, meskipun sedar pengguna kini dihimpit pelbagai masalah berkaitan harga barang keperluan meningkat.
“Dalam sepuluh pelanggan yang datang, lima daripada mereka pasti akan merungut. Tetapi, kami tiada pilihan selain terpaksa mengikut harga terkini,” katanya.
Sementara itu pemilik kenderaan, Norain Shafiqah, 24, berkata perbelanjaan hariannya sememangnya terkesan apabila dia terpaksa menanggung kos membaik pulih kenderaan miliknya yang menunjukkan kenaikan.

“Macam tadi saya baru lepas tukar minyak hitam dan saya perasan harga minyak hitam tu ada perubahan dalam harganya.
“Walaupun tidaklah sehingga saya terpaksa ikat perut, tetapi sememangnya apabila terdapat masalah ini, saya juga terpaksa menahan daripada berbelanja berbanding sebelum ini,” katanya.
Pemilik motosikal, Muhammad Safwan, 35, berkata, bebanan kenaikan harga perlu ditanggung walaupun perit.
“Memang tiada pilihan lain, kita pun terpaksa bekerja, sama ada kos barangan meningkat ataupun tidak. Kalau motor dah rosak, memang kita terpaksa ganti walaupun sudah mahal.
“Harapnya, kerajaan dan menteri boleh lah membantu, tetapi kita pun menerima nasib macam ni,” katanya. – SB