Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
LANGKAH Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin yang keluar parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sama sekali tidak menjejaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama Srikandi.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ini kerana parti terutama sayap berkenaan mempunyai ramai calon pelapis kepimpinan yang layak untuk diketengahkan.
Malah kata beliau, pihaknya sudah lama bersedia kerana sudah mengetahui keputusan itu lebih awal sebelum Zuraida mengumumkannya secara rasmi menerusi sidang akhbar pada bulan lalu.
“Ini tidak merisaukan kita kerana Bersatu dan Srikandi mempunyai ramai calon pelapis kepimpinan yang layak untuk diketengahkan.
“Daripada sudut parti mahupun Srikandi khususnya, tindakan itu tidak menjejaskan sebarang urusan pentadbiran, itu perkara biasa dalam politik dimana pemimpin datang dan pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di Johor Bahru, hari ini.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Mengulas lanjut, Rina berkata, tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu hanya diikuti sekumpulan kecil ahli lain.
“Semasa beliau (Zuraida) keluar Bersatu, saya kira mungkin ada beberapa yang ikut dan mereka itu memang sudah bersama dengan beliau ketika dia menyertai Bersatu dahulu.
“Jumlahnya tidak besar tetapi adalah beberapa orang yang kita tahu,” ujar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.