EMPAT maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Lembah Klang (NKVE) dari arah Subang menghala ke Kelana Jaya, Shah Alam, pagi Sabtu.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 4.11 pagi terus bergegas ke lokasi kejadian, lapor BH Online.
“Siasatan mendapati, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton Wira Aeroback yang berlanggar dengan Proton Wira Sedan.
“Lima mangsa terbabit dalam kemalangan itu, empat mangsa iaitu dua wanita dan dua lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Norazam berkata, mangsa kelima iaitu seorang lelaki yang cedera parah telah diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kereta Wira Aeroback dipandu salah seorang daripada empat mangsa yang maut.
“Mangsa yang berumur 28 tahun didapati tersepit di dalam kenderaan yang dipandunya dan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.
“Sementara itu, kereta Proton Wira Sedan dinaiki dua lelaki dan dua wanita di mana tiga daripadanya meninggal dunia dan seorang parah.,” katanya.
Kesemua mangsa adalah warga tempatan yang berumur di antara 27 hingga 30 tahun.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.