KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan bahawa Malaysia telah mengesan tiga kes penularan Covid-19 membabitkan varian BA.5 dan BA.4.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, itu merupakan kes pertama membabitkan penularan varian tersebut yang disahkan di negara ini, mengikut laporan BH Online.
“Kedua-duanya (varian BA.4 dan BA.5) dikategorikan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) sebagai VOC-LUM (lineages under monitoring) di bawah varian Omicron. Setakat ini, faktor risiko kekal sama,” katanya.
Sebelum ini, Singapura dilapor merekodkan tiga penularan tempatan Covid-19 yang membabitkan dua kes varian BA.4 dan satu jangkitan BA.5 dengan ia adalah kes komuniti pertama disahkan berkaitan varian berkenaan.
16 Mei lalu, pegawai kesihatan Eropah menyenaraikan dua strain Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, iaitu BA.4 dan BA.5 sebagai varian membimbangkan (VOC).
Ini melihat susulan subvarian Omicron berkenaan berupaya mengelak daripada perlindungan imuniti vaksin dan mungkin menguasai kes COVID-19 Eropah menjelang musim panas.
Pusat Pencegahan Penyakit dan Kawalan Eropah (ECDC) dalam laporan menyatakan, subvarian BA.4 dan BA.5 boleh menyebabkan lonjakan kes jangkitan COVID-19 di seluruh benua, sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).
BA.4 dan BA.5 pertama kali dikesan di Afrika Selatan masing-masing pada Januari dan Februari lalu
Sejak itu, kedua-dua subvarian terbabit menjadi strain dominan di negara itu, manakala BA.5 pula dijangka menjadi varian paling biasa di Portugal menjelang 22 Mei nanti.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.