Kongres PKR ditangguh 15 Julai, kata ahli MPP

0
450

KONGRES PKR yang dijadualkan berlangsung pada akhir bulan ini akan ditangguh ke 15 Julai hingga 17 Julai, kata ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid memberitahu FMT.

Keputusan yang dibuat pada mesyuarat MPP semalam itu bagi memberi ruang kepada audit forensik berhubung pemilihan parti, katanya.

Pemilihan parti kali ini dihurung dakwaan seperti kewujudan pengundi ragu, kesahihan undi dan masalah logistik.

“Mesyuarat malam tadi memutuskan untuk tangguh kongres pada Julai bagi memberi ruang untuk selesaikan aduan dan juga lakukan audit forensik,” katanya yang menambah bahawa keputusan itu dibuat secara sebulat suara.

Kongres PKR dijadualkan berlangsung pada 24-26 Jun, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

FMT sedang menunggu maklumat lanjut daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Pada 5 Jun lalu, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya terbuka untuk membuat audit forensik selepas seorang calon, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mempersoalkan kesahihan lebih 25,000 undi dalam persaingan antara Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution bagi jawatan timbalan presiden.

Katanya, seramai 147,000 ahli PKR membuang undi dalam persaingan tersebut, namun keseluruhan undi yang diperolehi oleh Rafizi dan Saifuddin hanya berjumlah 119,030.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here