GARA-gara menendang ibu dan mengugut wanita itu dan adik perempuannya menggunakan gunting, bekas pemandu lori dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret S. Mageswary terhadap Alif Najmi Abdul Halim, 22, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan, lapor Bernama.
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan bagi kesalahan mencederakan ibunya Suhaila Mohd Jidin, 47, dengan menendang bahagian belakang pinggang kiri wanita itu di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 8 Jun.
Alif Najmi dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Perkara itu dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.
Bagi kesalahan mengugut ibu dan adiknya Nur Alia Wardina, 21 menggunakan sebilah gunting sehingga menyebabkan ketakutan kepada kedua-dua mereka, tertuduh dihukum penjara 5 bulan.
Kesalahan itu difahamkan dilakukan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh ditangkap semalam.
Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun peguam Edwin Tomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah mental serta menanggung keluarga, selain insaf atas perbuatannya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.