SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke malam tadi menafikan menetapkan sebarang syarat untuk bekerjasama dengan Warisan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), bertentangan dengan dakwaan presiden parti itu.
Anthony Loke berkata, ia hanya menyatakan “pendirian” untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi DAP dalam pilihan raya umum lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, DAP menang tiga kerusi Parlimen di Sabah, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.
“Kita tidak minta banyak. Kita tidak mempunyai banyak kerusi (di Sabah).
“Sebaliknya saya dituduh sebagai angkuh. Bagi saya ini seolah-olah seperti alasan untuk tidak berunding mengenai kerusi,” katanya dalam segmen di Facebook bertajuk #AnthonyJawabJujur.
Semalam, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, DAP tidak sepatutnya menetapkan syarat apabila berunding dengan Warisan mengenai kemungkinan kerjasama pada PRU15.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Loke bahawa parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti dari Sabah yang lain selagi mereka mengekalkan hak bertanding di tiga kerusi itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.