Rompak stesen minyak guna pistol, remaja 12 tahun ditahan

TIDAK padan dengan usia, seorang remaja lelaki berusia 12 tahun merompak sebuah stesen minyak dengan menggunakan senjata api di Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan Utusan Online, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja itu sedang berdiri menunggu dalam barisan di kaunter juruwang sambil menggalas sebuah beg hitam.

Sejurus gilirannya tiba, remaja itu terus mengeluarkan sepucuk pistol kaliber peluru 9mm dari begnya dan mengacukan kepada juruwang sambil menuntut menyerahkan wang.

Suspek meminta juruwang memasukkan wang tersebut ke dalam beg hitamnya.

Namun, juruwang itu seolah-olah tidak percaya dengan permintaan suspek, lalu bertanya kepada remaja itu sama ada dia serius mahu merompak.

Suspek kemudian mengacukan pistol ke arah siling stesen minyak dan melepaskan satu tembakan.

Juruwang berkenaan tersentak dengan tindakan remaja itu lalu mengeluarkan bungkusan berisi wang dari peti besi.

Dia menyerahkan wang tersebut dan mengarahkan remaja itu keluar dari premis berkenaan.

Suspek dengan tenang berjalan keluar seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Namun demikian, remaja itu berjaya ditahan polis beberapa jam kemudian.

Ketua Polis Hartford, Tressa Beltran berkata, suspek didakwa atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata, serangan dengan senjata berbahaya dan melepaskan tembakan.

Katanya, polis menerima maklumat remaja itu pernah memberitahu rakannya di sekolah mengenai rancangan untuk melakukan rompakan bersenjata, sebelum mengambil pistol milik datuknya.