Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pakar ekonomi diminta kemuka kertas cadangan atasi kos sara hidup -

Pakar ekonomi diminta kemuka kertas cadangan atasi kos sara hidup

PAKAR-pakar ekonomi telah diminta mengemukakan satu kertas cadangan kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi mengatasi isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sekarang, terutamanya golongan B40.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan M40 juga terjejas dengan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

“Sememangnya, saya memandang serius isu peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini dan impaknya terhadap kebajikan rakyat. Sewaktu pandemik Covid-19, kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion secara suntikan langsung melalui 8 pakej rangsangan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Institut Masa Depan Malaysia berkenaan isu-isu ekonomi semasa bersama tokoh-tokoh ekonomi.

Mereka ialah Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Michael Kang merangkap ahli Majlis Pemulihan Negara serta pakar ekonomi Prof Emeritus Datuk Dr Norma Mansor dan Prof Dr Jamal Othman.

Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin yang membentangkan kedudukan semasa ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, Malaysia telah merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 5% bagi suku pertama tahun 2022 berbanding 3.6% bagi suku sebelumnya.

“Walaupun trend pemulihan negara menunjuk penambahbaikan, isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan perlu diberi tumpuan khusus mengambil kira faktor-faktor situasi global seperti konflik di Ukraine, perintah kawalan pergerakan di China serta kadar tukaran wang asing negara yang lemah.

“Sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama perladangan, perkhidmatan dan pembinaan juga masih berdepan isu kekurangan pekerja yang menjejaskan pemulihan dalam sektor tersebut,’’ katanya.

Dalam negara bergerak ke hadapan, Muhyiddin berkata, rangka pertumbuhan ekonomi makro yang dicatatkan akan lebih bermakna apabila ekonomi rakyat turut berkembang seiring.

“Kenaikan harga barang perlu diatasi dengan segera oleh semua pemegang taruh supaya rakyat dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna, insya-Allah,’’ katanya.