Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Suami isteri direman 6 hari kes rasuah lebih RM600,000 berkait GLC -

Suami isteri direman 6 hari kes rasuah lebih RM600,000 berkait GLC

SEPASANG suami isteri direman enam hari, bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan lebih RM600,000 berhubung kerja pelantikan syarikat pengangkutan untuk sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek berusia 50-an dan 40-an itu direman hingga 10 Jun ini selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Sumber berkata, pasangan itu ditahan di rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 7 malam tadi.

Katanya, suspek lelaki yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan di sebuah GLC disyaki meminta ‘habuan bulanan’ kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April 2022.

Difahamkan, isteri suspek ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan suaminya untuk meminta dan menerima suapan bagi pihak lelaki itu.

“Isteri suspek juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit, dan pemilik syarikat berkenaan terbabit dalam urusan rasmi dengan suami suspek,” katanya,” Lapor BH Online.

Menurut sumber itu lagi, eksekutif kanan itu juga digantung tugas di syarikat berkenaan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan pasangan suami isteri itu.

Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.