KBS bantu atasi gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan belia

0
329

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan berusaha membantu mengatasi gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan belia, susulan laporan seramai 275 pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan kakitangan awam terlibat jenayah itu sejak tahun 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara usaha yang dilakukan ialah memupuk kesedaran dalam kalangan anak muda, dari peringkat sekolah lagi.

“Kesedaran ini bukan sahaja perlu diterapkan di peringkat kementerian, termasuk juga di peringkat sekolah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan setiap badan agensi, dengan menjalankan aktiviti atau program kesedaran tentang bahaya gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Gejala ini seperti penyakit, di mana ia tidak kira bangsa dan agama, jika seseorang itu tiada jati diri tentu dia akan lakukan juga. Saya amat berdukacita kerana golongan muda sudah terlibat dengan rasuah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Liga Sukan Malaysia (MSL) daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di Ipoh hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dilaporkan berkata berdasarkan data terkini pihaknya, seramai 275 belia berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah yang terdiri daripada 231 lelaki dan 44 wanita sejak 2020 hingga Jumaat lepas.

Dalam tempoh sama, seramai 151 belia dituduh di mahkamah melibatkan 11 orang berusia 18 hingga 23 tahun dan 140 orang berusia 24 hingga 30 tahun, dengan 85 daripadanya selesai perbicaraan serta didapati bersalah yang mana antara kesalahan dilakukan adalah memberi, menerima dan lain-lain kesalahan berkaitan rasuah.

Terdahulu, Ahmad Faizal berkata program MSL 2022, dilaksanakan bagi memupuk minat dan menarik penyertaan dari pelbagai peringkat umur ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan.

Beliau berkata program pengenalan berbentuk pertandingan melibatkan lima jenis sukan secara berpasukan termasuk futsal dan bola jaring itu, mendapat sambutan amat menggalakkan dan pasukan terbaik akan mewakili peringkat daerah, negeri dan kebangsaan demi menjadikan Malaysia sebuah Negara Sukan.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here