SEORANG pemandu kereta jenis BMW merempuh sembilan kenderaan lain hingga menyebabkan enam cedera apabila pemandu itu diserang sawan.
Mengikut laporan BH Online, kejadian berlaku di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh ketika pengguna jalan raya sedang menunggu lampu isyarat.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superitenden Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, kesemua mangsa sedang menunggu di simpang empat lampu isyarat Taman Chiptaco berhampiran sebuah pasar raya dalam kejadian jam 9.14 malam.
Kata beliau, siasatan awal mendapati pemandu BMW berumur 38 tahun itu dikatakan mengalami sawan sehingga menyebabkan dia tertekan pedal minyak sehingga merempuh beberapa kenderaan yang juga sedang menunggu lampu isyarat menjadi hijau.
“Pemandu terbabit kemudiannya dipercayai sekali lagi diserang penyakit itu menyebabkan berlaku rempuhan kedua.
“Kemalangan berkenaan membabitkan 10 kenderaan yang menyebabkan enam pemandu serta penumpang berusia antara 20 hingga 73 tahun cedera, selain pemandu BMW turut cedera ringan,” katanya kepada BH Online pada Sabtu.
Tambah beliau, sembilan kenderaan yang dirempuh ialah dua Perodua Myvi, Honda Jazz, Perodua Kenari, Perodua Viva, Perodua Alza, Toyota Corolla Altis, Nissan Frontier dan Proton Persona.
Kesemua mangusa termasuk pemandu Perodua Kenari wanita berusia 20 tahun yang mengalami patah hidung dirawat di Zon Hijau dan Zon Kuning Hospital Melaka.
Siasatan lanjut diajalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.